LUNDU: Seorang bayi lelaki berusia setahun antara enam individu disyaki pendatang asing tanpa izin (Pati) ditemui bersembunyi di dua rumah kebun ladang sawit berhampiran Kampung Kendaie, pada Jumaat.

Komander Briged PGA Sarawak SAC Mancha Ata berkata, pemeriksaan dalam Ops Benteng Covid sekitar jam 12.30 tengah hari mendapati semua suspek tinggal di dua rumah berasingan.

Menurutnya, semua suspek masing-masing berusia setahun hingga 40 tahun itu gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan masuk sah serta tidak mempunyai pengenalan diri ketika ditahan.

“Pemeriksaan di rumah pertama menemui seorang lelaki dan wanita serta seorang kanak-kanak lelaki manakala tiga lagi lelaki dewasa ditemui di rumah kebun kedua di lokasi yang sama.

“Semua Pati disyaki menetap di kebun terbabit hampir setengah tahun sebelum diserbu pasukan operasi,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, hasil risikan mendapati warga asing itu disyaki mencuri hasil ladang sawit di kebun berkenaan untuk dijual.

Susulan itu katanya, semua suspek dibawa ke IPD Lundu untuk siasatan lanjut. Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959.