JERANTUT: Dalam usaha mengumpul maklumat kepelbagaian biologi di Taman Negara, Pahang, seramai 70 saintis dan penyelidik menyertai Ekspedisi Saintifik Taman Negara Kedua bagi menerokai spesies baharu, endemik serta keunikan flora dan fauna di taman negara itu.

Penyelidik daripada pelbagai jabatan, institusi penyelidikan dan institut pengajian tinggi awam, termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu ditempatkan di Stesen Penyelidikan UiTM-Perhilitan Kuala Keniam bagi ekspedisi selama lima hari sejak Jumaat.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM Prof Dr Mohd Nazip Suratman berkata hasil penemuan ekspedisi saintifik itu akan menyumbang kepada matlamat pembangunan lestari (SDG) negara, selain dapat meningkatkan kolaborasi penyelidik UiTM dengan penyelidik lain.

“Ekspedisi kedua ini ada kelainan sikit daripada yang pertama kerana kita hendak tingkatkan lagi maklumat atau pengetahuan mengenai biodiversiti di Taman Negara ini. Kita perlukan maklumat terkini dan lebih menyeluruh berbanding yang diperoleh daripada ekspedisi pada 2008.

“Melalui ekspedisi saintifik ini pelbagai penemuan signifikan akan diperoleh dan seterusnya dapat didokumentasikan dalam pelbagai bentuk termasuklah buku, persidangan, jurnal, buku bergambar dan filem dokumentari,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan ekspedisi saintifik itu di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Fakhrul Hatta Musa, Pengarah Institut Biodiversiti dan Pembangunan Lestari UiTM merangkap ketua ekspedisi Prof Dr Zulkiflee Abd Latif dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti, Alumni & Keusahawanan) UiTM Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad.

Mengenai cabaran Perhilitan bagi ekspedisi itu, Fakhrul Hatta berkata pihaknya perlu memastikan penyelidik berada dalam keadaan selamat kerana stesen penyelidikan itu merupakan laluan gajah.

Beliau berkata Perhilitan mengalu-alukan ekspedisi saintifik berkenaan memandangkan khazanah alam di hutan hujan tertua dunia itu masih belum diterokai sepenuhnya.

“Kita letak pagar elektrik di beberapa kawasan stesen bagi mengelakkan kemasukan gajah. Di sini kita ada Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli (VetOA) serta anggota tetap Perhilitan bukan sahaja untuk penyelidik, tapi juga untuk memantau pergerakan pelancong dan pencerobohan oleh warga asing.

“Ekspedisi ini memberi manfaat dan maklumat kepada Perhilitan mengenai spesies flora dan fauna yang ada di sini, maklumat itu boleh digunakan untuk perancangan serta pemerolehan bajet pada masa akan datang,” katanya.

Ekspedisi bermula dari 4 hingga 8 Sept bagi fasa pertama ini merupakan hasil kerjasama antara UiTM dan Perhilitan yang diuruskan bersama Institut Biodiversiti dan Pembangunan Lestari UiTM.

Selain Kuala Keniam, lokasi lain bagi ekspedisi seumpamanya di negara ini adalah di Pulau Tuba, (Langkawi, Kedah) Royal Belum, (Gerik, Perak) dan Taman Negara Ledang (Tangkak, Johor) yang mempunyai tema kajian berbeza mengikut lokasi.