KUCHING: Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng meninjau kerja-kerja menaik taraf tandas berusia 30 tahun di Pusat Penjaja Bintawa di sini, Jumaat.

Hong Seng berkata, pihaknya menerima banyak aduan kerosakan seperti masalah tersumbat, air melimpah, berbau, kotor dan jumlah tempat membuang air tidak mencukupi di tandas tersebut.

Beliau memberi jaminan akan melakukan yang terbaik untuk mengatasi masalah itu.

“Seperti yang kita dapat lihat di sini, tiada kemudahan kipas angin dan berlaku limpahan air dari mangkuk tandas.

“Pengguna perlu membersihkan air yang melimpah, kemudian menggunakan tandas dan selepas itu akan berlaku lagi limpahan.

“Melihat masalah ini, kita perlu mempercepatkan projek penambahbaikan ini,” jelasnya.

Menurutnya, projek ini dilakukan dengan cara tender terbuka.

Justeru katanya, tandas sementara disediakan sepanjang proses pembinaan tandas baharu bagi membolehkan peniaga dan pengunjung menggunakannya.

Kos naik taraf tandas baharu ini bernilai RM187,000 dan dijangka siap dalam tempoh 12 minggu.

WAJAH BAHARU… Tandas lama akan mempunyai wajah baharu tidak lama lagi.

 

PELAN… Hong Seng melihat pelan projek tandas yang akan dibina.