BAU: Polis Bahagian Siasatan Jenayah Bau menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki bergiat aktif menjalankan aktiviti loteri awam tanpa lesen di sebuah kedai runcit Jalan Kampung Krokong Pisa, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, tangkapan tersebut dilakukan hasil serbuan pasukan di lokasi sekitar jam 4 petang.

Menurutnya, suspek, 27, mengaku bekerja sebagai agen loteri awam tanpa lesen di sekitar kawasan berkenaan.

“Hasil Ops Dadu berjaya mengenal pasti aktiviti judi haram dan menahan seorang lelaki yang menjadi agen loteri awam tanpa lesen di sebuah kedai runcit.

“Ketika memeriksa suspek, pasukan menemui dua keping kertas kotak bertulis angka nombor loteri awam tanpa lesen dan sejumlah wang tunai dipercayai hasil jualan aktiviti terbabit,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, semakan rekod polis bagaimanapun tidak mendapati suspek pernah terlibat dalam sebarang perilaku jenayah.

Susulan itu, katanya, suspek bersama barangan kes telah pun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Bau untuk tindakan siasatan lanjut.

Ujarnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 di mana jika sabit kesalahan suspek boleh didenda tidak kurang RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun.