KUCHING: Program Jom Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) membantu memperkasa industri sawit khususnya di Sarawak.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Mongin berkata, program tersebut bertujuan uar-uarkan kesedaran berhubung dengan MSPO.

“Ini secara tidak langsung dapat menangkis cabaran yang kita hadapi daripada negara luar dan kita juga ingin mengeluarkan minyak sawit yang menepati standard dunia,” katanya merasmikan Program Jom MSPO Negeri Sarawak di Dewan Rentap Pulapol, kelmarin.

Menjelas tentang pensijilan, Willie memberitahu, di peringkat kementerian mengamalkan sikap terbuka untuk berbincang dengan pekebun walaupun tarikh pendaftaran sijil telah tamat.

“Salah satu sebab mereka tidak mendapatkan kelulusan disebabkan kekangan tertentu seperti status tanah dan kewangan, bagaimanapun di bawah Kerajaan Perikatan Nasional terdapat bantuan diberikan.

“Sebagai contoh, di Sarawak antara syarat untuk mendapatkan kelulusan pensijilan adalah tanah tersebut mempunyai geran atau sekurang-kurangnya mempunyai kelulusan daripada Kerajaan Sarawak yang mengatakan tanah diwartakan untuk aktiviti pertanian dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau menambah, setakat ini tiada istilah menolak permohonan sijil dan jika ia berlaku mungkin terdapat permohonan yang tidak menepati syarat dan perkara itu akan diperhalusi.

“Sebelum ini kita tidak pernah menolak pekebun kecil, malah kita membantu dengan memberi panduan kepada mereka. “Hasrat kita untuk membuat MSPO mencapai jumlah 100 peratus.

“Kita mempunyai sijil yang diterima dunia, tetapi saya faham susah untuk kita mencapai 100 peratus jumlahnya. “Tetapi jika kita boleh capai 90 peratus atau 65 peratus sudah baik untuk negara kita,” ujarnya.

Beliau mendedahkan 77 daripada 81 kilang di Sarawak sudah  mendapatkan MSPO. Dalam hal berkaitan, beliau menegaskan kerajaan akan terus memastikan harga buah tandan sawit segar (FFB) yang melonjak tinggi kepada RM540 satu tan berbanding sebelum ini RM260.

“Saya memohon agar sektor swasta dan syarikat korporat bersama-sama membantu ke-rajaan memperbanyak produk huluan kelapa sawit supaya ia dapat menyediakan peluang pekerjaan selain me-ningkatkan pendapatan negara,” jelasnya.

Untuk rekod, Jom MSPO ini dianjurkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) untuk penanam sawit dan pekebun kecil di negeri ini.

Majlis tersebut semalam juga menyaksikan Willie menyampaikan sijil kepada 14 orang penerima. Hadir sama Pengerusi MPOB Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Pengerusi MPOCC Muhtar Suhaili, Ketua Pengarah MPOB Dr. Ahmad Parveez Ghulam Khadir, Adun Bukit Semuja Miro