BINTULU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menekankan pentingnya konsep amanah sebagai tunjang utama dalam pentadbiran dan pengurusan malah dalam segala bentuk pengurusan organisasi Islam di negeri ini.

Katanya, dengan mengambil contoh teladan Nabi Muhammad SAW. yang berlaku adil dalam kepemimpinannya terhadap masyarakat Islam dan bukan Islam, pendekatan berkenaan terbukti membentuk satu tamadun Islam yang berjaya.

Justeru katanya, kepemimpinan hari ini hendaklah bertanggungjawab termasuk menjaga dan mengurus kewangan masjid serta surau dengan baik dan betul.

“Ia penting bagi mengelak salah faham antara jawatankuasa masjid dan surau, sekali gus menyumbang kepada perbalahan,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Seminar Integriti Kepimpinan Masjid dan Surau Negeri Sarawak (Zon Utara) di Dewan Suarah Bintulu, pada Jumaat.

Tegasnya, menjalankan tanggungjawab dengan amanah itu penting agar tadbir urus dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan, sekali gus memberi keadilan kepada masyarakat keseluruhannya.

Abang Johari mengajak kepemimpinan masjid dan surau supaya peka dengan perubahan zaman, sekali gus mempersiapkan diri supaya sentiasa mempertingkatkan ilmu pengetahuan.

“Ini termasuk melaksanakan usaha bagi memperkasakan peranan masjid dan surau sebagai kerangka utama memartabatkan pembangunan komuniti,” katanya.

Terdahulu Abang Johari memberitahu, Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan tambahan RM4 bilion kepada Kementerian Utiliti bagi melaksanakan projek bekalan air luar bandar di  negeri ini.

Katanya, “Ini bagi memenuhi keperluan masyarakat luar bandar untuk turut sama menikmati bekalan air bersih bagi keperluan harian.”

Terdahulu Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip menekankan pentingnya konsep integriti dalam kalangan individu yang mentadbir dan mengurus masjid dan surau.

Katanya, seorang Muslim harus sentiasa bersyukur dan berhati-hati dalam sebarang tindakan terutama dalam soal pengurusan dan pentadbiran masjid dan surau.

“Tujuan utama seminar ini ialah meningkatkan kefahaman dan kemahiran termasuk menjadi penanda aras pengurusan masjid dan surau.

“Ini juga akan menjadi lambang solidariti bagi menghadapi cabaran semasa dan mengembalikan kegemilangan umat Islam,” ujarnya. Beliau berkata sokongan, padu Abang Johari terhadap program berkaitan integriti terus membakar semangat rakyat Sarawak selain mencapai status negeri maju.

“Bumi Kenyalang juga harus dikenali sebagai negeri berintegriti,” katanya.

Program ini selaras dengan polisi dan komitmen Kerajaan Sarawak untuk menanam budaya integriti, tadbir urus baik serta menghapus gejala rasuah.

Menteri Utiliti yang juga Adun Kemena Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom; Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Adun Samalaju Majang Renggi; Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha dan Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat antara yang turut hadir.