TOKYO: Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga menjadi calon perdana menteri paling digemari ramai selepas beliau mencalonkan diri untuk ‘merebut’ jawatan tersebut, menurut tinjauan Asahi Shimbun pada Jumaat.

Mengutip Reuters, tinjauan itu menunjukkan momentum semakin meningkat untuk Suga, yang muncul sebagai pelapor utama untuk menggantikan Perdana Menteri Shinzo Abe selepas mendapat sokongan daripada beberapa faksi utama partinya.

Suga mencatat 38 peratus sokongan orang ramai, mendahului 25 peratus untuk bekas Menteri Pertahanan Shigeru Ishiba yang sebelum ini mendahului dalam beberapa tinjauan pendapat media.

Sementara Fumio Kishida, ketua parti dasar, Parti Liberal Demokratik berada di kedudukan terakhir dengan 5 peratus.

Jun lalu, tinjauan Asahi Shimbun menunjukkan Ishiba mendahului tujuh pesaing berpotensi dengan 31 peratus sementara Suga hanya mencatat kedudukan 3 peratus.

Sebelum ini, Abe mengumumkan peletakan jawatannya minggu lalu ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

LDP yang mempunyai suara majoriti di Dewan Rakyat memastikan pemimpin dari parti itu diangkat sebagai Perdana Menteri.

Suga dilihat secara efektif ialah muka kerajaan selama bertahun-tahun kerana tugasnya sebagai jurucakap ketua pemimpin.

Beliau juga mempunyai hubungan rapat dengan Abe lebih sedekad lalu dan merupakan suara penyokong yang mendorong bekas Perdana Menteri itu untuk meneruskan tugasnya selepas penggal pertama berakhir pada 2007.

Pesaing utama Suga pada hari pemilihan kepimpinan parti yang berlangsung 14 September ini ialah bekas Menteri Pertahanan, Shigeru Ishiba dan bekas Menteri Luar, Fumio Kishida.

Daripada tiga calon yang bertanding itu, kedudukan Suga dilihat kuat, sekali gus mempunyai kelebihan untuk menang dalam pemilihan tersebut.