SIMANGGANG: Seramai 96 peserta terlibat dengan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) di Rumah Kadir Selai, Lepong Simpai Ili, Sri Aman pada Jumaat.

Program anjuran Pejabat Pertanian Bahagian Sri Aman itu bertujuan mengingatkan kembali teknik pengurusan tanaman dan penternakan untuk mendapatkan hasil optimum.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis berkata, peserta program dapat kemas kini maklumat berkaitan tanaman dan ternakan kerana ia antara sumber pendapatan mereka.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman kerana menganjurkan program ini.

“Konsep turun padang ini sangat bermakna kerana jabatan berkongsi dengan masyarakat mengenai teknik pengurusan tanaman dan penternakan untuk memastikan mereka mendapatkan hasil yang optimum,” jelasnya.

Adun Simanggang itu menambah, pertanian adalah salah satu cara untuk menjana ekonomi dan dengan pengurusan yang sempurna, ia secara langsung membantu meningkatkan taraf hidup pengusaha berkenaan.

Antara pengisian dalam modul program adalah Taklimat Teknologi Tanaman Lada Hitam yang disampaikan oleh Hazman Wahab; Taklimat Teknologi Tanaman Padi daripada Chadum Lawan; Taklimat Ternakan Bukan Ruminan daripada Romeo Valentine; Taklimat Ternakan Ikan Dalam Tangki daripada Patrick Layong Ulai; dan Taklimat Penerangan Bantuan dari JKMB Sri Aman daripada Abdul Shamat Kassim.

Terdahulu, Harden menerangkan tentang produk bantuan kebajikan dari JKMS khas kepada rakyat Sarawak yang sedang hangat diperkatakan pada masa sekarang.

Antaranya Kenyalang Gold Card (KGC), Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Endowment Fund Sarawak (EFS) dan Pemasangan Arteriovenous Fistola (AVF).

Pada akhir sesi disampaikan kad KGC kepada penerima dari sembilan rumah panjang yang terdiri daripada 64 orang. Harden turut meluluskan peruntukkan MRP berjumlah RM3,000 kepada JKKK Lepong Simpai Ili, manakala RM2,000 kepada Biro Wanita.