KOTA SAMARAHAN: Pasar raya H&L merupakan rakan strategik baharu Kad Kenyalang Emas dan pemiliknya boleh mendapatkan potongan 10 peratus apabila berbelanja di pasar raya berkenaan.

Sehubungan itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah mengalu-alukan penglibatannya sebagai rakan strategik.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan pasar raya H&L kerana meringankan beban warga emas membeli barangan keperluan,” katanya ketika lawatan ke Pasar Raya H&L di Aiman Mall di sini, semalam.

Menurutnya lagi, Sarawak dianggarkan dihuni 526,000 warga emas menjelang 2030.

“Oleh itu, inisiatif sebegini sangat diperlukan untuk membantu golongan itu.

“Perlu diingatkan bahawa tiada bayaran yang dikenakan untuk mendaftar kad berkenaan,” tegasnya.

Menurutnya lagi, sambutan di luar bandar amat menggalakkan seperti di Kapit, Mukah, Sarikei, Betong, Limbang dan Serian.

“Setakat 31 Ogos lalu, sebanyak 169,925 permohonan dengan 133,805 kad dicetak manakala 68,960 lagi berjaya diagihkan.

“Antara manfaatnya ialah kemudahan kesihatan berbentuk perubatan, pemulihan dan pengangkutan awam seperti bas ekspres,” ujarnya.

Bagaimanapun, had berkenaan hanya boleh digunakan dalam Sarawak sahaja dan tiada kemudahan potongan tiket kapal terbang.

“Kita akan berusaha untuk bekerjasama dengan syarikat penerbangan supaya menjadi rakan strategik dan harap agensi penerbangan memberi maklum positif.

“Setakat Ogos lalu, sebanyak 89 agensi menjadi rakan strategik Kad Kenyalang Emas di seluruh Sarawak,” katanya.