MIRI: Calon dan penyokong GPS harus membantah sekiranya ada orang dari Semenanjung Malaysia menjadi ejen pilihan raya, ejen pusat mengundi dan ejen pengiraan undi di kawasan masing-masing dalam PRN-12 akan datang.

Speaker Dun Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata, bantahan boleh dibuat di bawah Seksyen 65, 66 dan 67 Akta Imigresen.

“Parti-parti dari Semenanjung Malaysia akan menggunakan orangnya menjadi ejen pilihan raya, ejen pusat mengundi dan ejen pengiraan undi.

“Itu mesti kita bantah kerana mereka masuk ke Sarawak tanpa permit kerja,” katanya. Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan Ke Arah Kemenangan sempena Konvensyen Khas Parti PBB Zon Utara di sebuah hotel di sini, malam Ahad.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen Khas PBB Zon Utara Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Setiausaha

Agung PBB Datuk Alexander Nanta Linggi; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Utiliti Datuk Seri Stephen Rundi Utom.

Pada masa sama, Asfia yang juga Pengerusi Tetap PBB menasihati setiap calon melantik seorang peguam berpengalaman dan berpengetahuan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Imigresen dan sebagainya.

Katanya, ia bagi mengelak sebarang kesilapan atau masalah yang tidak diingini, yang boleh menjejaskan calon terutama membabitkan petisyen pilihan raya.

Justeru katanya, petisyen pilihan raya harus dielakkan oleh setiap calon dengan tidak melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan.

“Strategi pembangkang kalau kalah dalam pilihan raya, menang pula dalam mahkamah maka timbul petisyen pilihan raya.

“Tetapi di sana, hakim tidak akan melayan petisyen dan sangat tegas.

“Lain kita di Sabah dan Sarawak, mereka sangat liberal dengan petisyen pilihan raya.

“Jadi setiap calon kena berwaspada kerana kalau diketahui  bahawa kertas penamaan calon yang dihantar salah.

“Pembangkang akan menggunakan petisyen untuk menyaman calon sebagai defendan pertama dan SPR sebagai defendan kedua kerana menerima kertas penamaan calon yang salah,” katanya.

Asfia mengingatkan calon PBB supaya lebih mesra rakyat, lantang dan berani memperjuangkan parti demi mencapai kemenangan.

Katanya, setiap calon harus mempunyai Indeks Prestasi Utama (KPI) dan Indeks Prestasi Yang Tidak Dapat Dilihat (KIPI) yang mencerminkan keperibadiannya sebagai seorang wakil rakyat.

“Walaupun projek besar tetapi layanan kepada rakyat tidak ada, ini tidak akan membawa kemenangan.

“Kita mesti membalas, menentang dan mematahkan tohmahan, menyebarkan polisi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta menerangkan bajet-bajet yang Kerajaan GPS ketengahkan baharulah boleh menang, bukannya bergantung kepada media sosial sahaja,” katanya.