PADAWAN: Seorang lelaki tempatan yang didapati menjalankan aktiviti penjualan judi dalam talian ditahan polis hasil serbuan di sebuah premis berhampiran Taman Palma, Batu 8, Jalan Matang, malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata, serbuan dijalankan oleh pasukan khas sekitar jam 10 malam berjaya mengesan aktiviti terbabit di premis itu sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan terhadap suspek.

Menurutnya, suspek, 29, ketika kejadian ditemui dalam keadaan mencurigakan sedang duduk di kaunter premis berkenaan. “Hasil pemeriksaan mendapati telefon pintar yang ada pada suspek didapati menjalankan aktiviti penjualan judi dalam talian.

“Turut ditemui, wang tunai berjumlah RM180 dan sekeping kertas bertulis nombor angka disyaki kata laluan judi dalam talian,” jelasnya menerusi satu kenyataan.

Dedahnya, suspek ketika ditahan turut mengaku bekerja sebagai penjual judi dalam talian di sekitar kawasan tersebut.

Susulan itu katanya, suspek serta barangan kes dibawa ke IPD Padawan untuk siasatan lanjut. Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.