KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki pemegang kad Orang Kelainan Upaya(OKU) masalah mental ditangkap ketika leka menyelongkar barang sambil membimbit beg laptop di sebuah rumah Taman Riveria, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Samarahan DSP Sudirman Kram berkata, tindakan suspek memecah masuk rumah itu disedari oleh pemilik rumah yang mendengar bunyi dentuman kuat di tingkat bawah sekitar jam 1 tengah hari.

Menurut beliau, suspek berusia 40 tahun itu merupakan warga tempatan yang berasal daripada Batu Kawa mempunyai kad Psikiatri(Kad Merah) dari Jabatan Perubatan Sarawak.

“Mangsa melihat seorang lelaki yang tidak dikenali memakai helmet di hadapan pintu sambil membimbit beg laptop miliknya setelah turun dari tingkat atas bilik tidurnya.

“Suspek seterusnya bertindak melarikan diri melalui pintu utama rumah dan melompat pagar hadapan akibat dikepung oleh pengadu serta jiran yang menyedari kejadian setelah mendengar jeritan meminta tolong daripada mangsa,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek bagaimanapun gagal meloloskan diri dan berjaya ditangkap sebelum orang awam menghubungi pasukan peronda kereta polis(MPV) Samarahan untuk tindakan lanjut.

Dedahnya, hasil semakan mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah pecah rumah dan lain-lain kesalahan termasuk kes dadah di sekitar daerah Kuching, Padawan dan Kota Samarahan.

Ujarnya, kes masih lagi disiasat dibawah Sek 457 Kanun Keseksaan dan suspek kini direman lima hari untuk siasatan lanjut.