SIBU: Pekan Kanowit serta beberapa kawasan sekitarnya ditenggelami banjir hari ini (Isnin) ekoran air pasñang dan hujan berterusan sejak malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit Arrahman Chik ketika dihubungi berkata, setakat ini tidak ada pemindahan mangsa banjir yang terlibat.

“Antara yang ditenggelami banjir adalah Jalan Lukut/Penyulau yang tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil pada jam 7.20 pagi dan dari pengamatan kami, air naik.

“Pekan Kanowit juga ditenggelami air banjir sedalam satu kaki pada jam 7.17 pagi setelah Sungai Kanowit melimpah,” katanya.

Kawasan-kawasan rumah panjang yang terlibat adalah Sungai Mapai, Ngemah, Dap dan Poi di mana beberapa rumah panjang turut ditenggelami air sehingga Paras satu kaki sejak malam tadi.

Sementara itu, di Sibu beberapa batang jalannya turut ditenggelami air sedalam dua ke tiga kaki.

Tinjauan mendapati jalan-jalan yang ditenggelami air ialah Jalan Lanang, Jalan Khoo Peng Loong, Jalan Kong Yit Khim dan Jalan Aman.