SARIKEI: Bagi GPS, tidak ada yang lebih menggembirakan selain dapat menunaikan janji dan menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat untuk segenap lapisan rakyat.

Adun 45 Repok, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, Sarikei kini semakin membangun di bawah Kerajaan GPS melalui kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Malah katanya, pelbagai projek yang berimpak tinggi diluluskan untuk kemudahan rakyat bukan sahaja di Sarikei tetapi juga kawasan sekitarnya.

“Projek-projek seperti Jalan Pasi ke Tanjung Manis, Agro Park, CPPC pasti bakal membawa Sarikei ke arah pembangunan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat.

“Sewajarnya, kita harus berterima kasih kepada Abang Jo yang berpandangan jauh.

Ini satu penghargaan untuk beliau yang banyak membantu membangun dan mengubah wajah Sarikei hari ini,” katanya.

Program Merdeka, Komuniti di Rumah Gundak Sungai Paoh di sini, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, semangat patriotik perlu disemarakkan agar keharmonian dan keamanan terus dikecapi oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Malah katanya, setiap individu harus bangga menjadi rakyat Malaysia, di samping terus menyemai sikap saling menghormati.

Menurutnya, kepelbagaian kaum dan budaya merupakan salah satu keunikan Malaysia sekali gus menyerlahkan nama negara di seluruh dunia.

“Oleh itu, sebagai rakyat, kita harus bangga.

Kedamaian yang kita nikmati hari ini mesti dipertahankan kerana itulah satu-satunya anugerah yang tidak ternilai.

“Perpaduan yang sedia wujud merupakan tunjang kekuatan dan bukan penghalang untuk terus melangkah maju ke hadapan,” katanya.

Hadir sama ialah Pengarah Penerangan Sarawak Suwadi Guliling, Pegawai Penerangan Daerah Sarikei, Joseph James dan pemimpin masyarakat.