KOTA KINABALU:  Idealisma perjuangan ‘reformasi’ pembaharuan dalam politik bukan milik kumpulan tertentu, sebaliknya sesiapa sahaja boleh menggunakan istilah sama dengan konteks dan keutamaan berbeza.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, idealisma perjuangan itu bukan lahir sejak 20 tahun lalu, justeru adalah tidak sepatutnya istilah ‘reformasi’ itu dihadkan untuk digunakan atau dibicarakan oleh inidividu tertentu sahaja.

Beliau berkata, sesiapa sahaja yang mempunyai idealisma perjuangan dan ingin berbakti kepada rakyat boleh menggunakan istilah sama mungkin dengan kaedah, konteks dan keutamaan, yang berbeza.

“Di Sabah juga berlaku banyak pembaharuan dalam sejarahnya dan kita harus menghormati perjuangan itu sebab politik ini panjang sejarahnya, kesinambungan dan berjaringan, antara generasi dengan generasi, antara satu kumpulan dengan satu kumpulan.

“Sebab itu kita sentiasa cuba berkerjasama antara kumpulan-kumpulan yang ingin berbakti kepada masyarakat, dengan cara yang sebaiknya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Ketua Jabatan dan Agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia negeri Sabah, di sini hari ini.

Saifuddin berkata, suatu yang penting buat negara seperti Malaysia yang berbilang latar belakang adalah kesederhanaan, yang merujuk kepada sebuah negara yang tidak radikal dan sentiasa seimbang.

— BERNAMA