BAU: Tindakan seorang lelaki tempatan cuba menyembunyikan plastik berisi dadah syabu di genggaman tangan kiri tidak berhasil untuk meloloskan dirinya daripada ditangkap polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, suspek ditangkap oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dadah Bau di pekarangan tempat letak kereta Tasik Biru sekitar jam 10 pagi.

Menurutnya, kelibat suspek berumur 30 tahun itu pada awalnya menunjukkan aksi mencurigakan sebelum pihak berkuasa bertindak memeriksanya di lokasi kejadian.

“Pasukan operasi telah menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva yang dinaiki oleh seorang lelaki sebelum mendapatinya membawa bekalan dadah jenis syabu.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek sedang menggenggam sepeket plastik kecil lut sinar berisi bahan kristal seberat 1.11 gram,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

SUSPEK… Suspek lelaki berusia 30 tahun merupakan warga tempatan

Tambahnya, nilai pasaran semasa dadah yang ditemui pada suspek dianggarkan berjumlah RM180.

Dedahnya, ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Susulan itu, katanya, suspek telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Bau untuk tindakan siasatan lanjut.

Tambah Poge, suspek yang didapati mempunyai rekod kesalahan lampau itu akan dipohon tahanan reman pada 8 September 2020.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tegasnya, jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

DADAH…suspek ketika ditahan menggenggam barang dipercayai dadah jenis syabu di tangan kirinya