MUKAH: Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud meluangkan masa melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian yang baharu.

Tun Abdul Taib disambut Adun Tellian Yussibnosh Balo, Adun Balingian Abdul Yakub Arbi, mantan Ahli Parlimen Mukah Datuk Sri Muhammad Leo Toyad, ketua jabatan kerajaan dan warga SK Kampung Tellian.

Beliau berkesempatan meninjau bangunan sekolah dan berharap ia dapat dibuka sepenuhnya tahun hadapan.

SK Kampung Tellian dibangunkan di bawah projek pembinaan gantian penuh dan siap sepenuhnya pada 26 Disember 2019.

Bagaimanapun, sekolah tersebut belum dapat digunakan memandangkan masih dalam proses akhir memasukkan kelengkapan pengajaran termasuk landskap kawasan.

Ia dapat memuatkan 800 murid dan kini Pejabat Pendidikan Daerah Mukah berusaha memenuhi kapasiti itu memandangkan jumlah murid sedia ada cuma 213 orang.

Pada masa sekarang, SK Tellian masih diletakkan di SK Mukah menggunakan dua blok sekolah tersebut setelah bangunan lama diisytiharkan tidak selamat untuk diduduki.