BAU: Orang ramai khususnya di kawasan Bau dan di sekitarnya kini boleh mengunjungi Gerai Tani Jagoi yang telah diberi nafas baharu selepas dinaik taraf.

Mengambil contoh Pasar Minggu Serikin Adun Tasik Biru Henry Jinep berkata, pasar minggu yang terletak di sempadan Malaysia-Indonesia itu kini kekurangan pengunjung selepas pelaksanaan PKP susulan Covid-19.

“Sebelum ini ia menempatkan 400 peniaga aktif dan sentiasa menjadi tumpuan. Bayangkan, walaupun sesak tetapi Pasar Minggu Serikin sangat popular.

“Inilah yang kita hendak lakukan di Gerai Tani Jagoi,” katanya pada Program Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Majlis Perasmian Gerai Tani Jagoi di Kampung Jagoi Sri’ieng, Bau, semalam.

Kampung Jagoi terletak di Daerah Bau mengambil masa 45 minit perjalanan dari pusat bandar Kuching.

Henry menambah, kini peniaga di Pasar Minggu Serikin mula berpindah dan berniaga di Bau.

“Dan, kita bertuah kerana sudah menyediakan tapak perniagaan di sini “, katanya.

Tinjauan Suara Sarawak semalam mendapati Gerai Tani Jagoi mula dikunjungi ramai dan pelbagai barang jualan terdapat di sini seperti hasil tanaman, ikan segar, kuih-muih, bunga perhiasan, air minuman dan sebagainya.

Tapak niaga ini sudah berubah wajah apabila menerima suntikan baik pulih dengan kos RM20,000 daripada Kerajaan Sarawak.

Ia termasuk mengecat keseluruhan struktur gerai, membina tandas awam dan menggantikan bumbung yang rosak.

Gerai Tani Jagoi wujud sejak beberapa tahun lalu yang dibina oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) namun ditinggalkan dalam keadaan usang selepas tiada lagi menerima kunjungan.

Bagaimanapun, setakat ini Gerai Tani Jagoi baharu cuma disertai lapan peniaga dan ada yang masih dalam proses memohon permit perniagaan.

Justeru, Majlis Daerah Bau membuka permohonan permit perniagaan kepada yang berminat untuk berniaga di sini.

RASMI… Henry Jinep pada majlis perasmian Gerai Tani Jagoi.