DEBAK: Kira-kira 240 ekar tanah sedang dibangunkan dengan projek kelapa pandan selain pelbagai tanaman lain ke arah merealisasikan cadangan Taman Pertanian Saribas sebagai salah satu rangkaian Bakul Makanan Betong-Sarikei.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, Kerajaan Sarawak melihat potensi besar pertanian yang akan meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar.

“Kita menggunakan konsep kerjasama syarikat dengan peladang termasuk menjalin kerjasama dengan semua pihak yang mempunyai hubungan dengan pasaran luar.

“Rakyat harus faham, kerajaan tidak mengambil tanah, tetapi sebaliknya mengusaha tanah tersebut agar dapat dijadikan sebagai sumber pertanian penduduk,” katanya.

“Bagi fasa pertama melibatkan tanah seluas 120 ekar. Begitu juga fasa kedua dan mengucap tahniah kepada penduduk rumah panjang Buda Ili yang mengambil langkah memajukan tanah mereka sebagai pusat pertanian dalam merealisasikan Taman Pertanian Saribas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya selepas program penerangan ladang kelapa Pandan Buda Ulu dan Buda Ili di Rumah Panjang James Tujoh bersama Carus Eco Plants Sdn. Bhd. dekat sini, baru-baru ini.

Jelasnya, sebanyak 29 penama dari Rumah Panjang Buda Ili sudah menerima surat persetujuan.

“Hasil pertanian ini nanti akan membawa pulangan kepada mereka sendiri,” ujarnya.

Menurut Razi, usaha lanjut juga telah dibincangkan dengan Timbalan Ketua Menteri sebagai Menteri Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas tentang cara untuk meningkatkan sektor pertanian di kawasan Saribas.

Razi berazam untuk memastikan Taman Pertanian Saribas kelak mengeluarkan hasil pertanian yang berkualiti dan mempunyai kuantiti yang banyak.