LIMBANG: Pembinaan Jambatan Sungai Limbang 2 sangat penting bagi menyokong pembangunan kawasan di seberang sungai.

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata, jambatan berkenaan merupakan penghubung utama bagi memastikan kelangsungan pembangunan di seberang sungai mudah dilaksanakan.

Ujarnya, banyak cadangan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan seberang sungai namun mengalami kesukaran disebabkan jambatan berkenaanyang belum siap.

“Antaranya jalan raya, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan sebagainya.

“Malah jambatan ini menjadi penghubung utama memastikan projek seberang sungai dapat dilaksanakan,” katanya semasa ditemui media ketika melakukan lawatan kerja di Jambatan Sungai Limbang 2.

Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang itu berkata, Kerajaan GPS serius untuk menjayakan pembinaan projek berkenaan.

Malah beliau selalu melakukan lawatan di tapak projek berkenaan namun belum ada apa-apa kemajuan dapat dilihat.

“Kerajaan Sarawak mengambil peduli mengenai projek yang sedang berjalan agar dapat disiapkan mengikut masa ditetapkan.

“Saya harap pembinaan jambatan ini dipercepatkan kerana ia sangat bermakna untuk rakyat Limbang,” katanya.

Terdahulu Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, masalah projek sakit ini di negeri ini perlu ditangani secara serius.

Ujarnya, kebanyakan kontraktor tidak bersedia untuk melaksanakan projek di Limbang.

“Persediaan kontraktor dari segi logistik kurang kerana Limbang mempunyai sedikit perbezaan geografinya dengan kawasan lain,” ujarnya.