KUALA LUMPUR: Bekalan air di 1,156 kawasan atau 89.47 peratus daripada 1,292 kawasan terlibat gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan tujuh wilayah sekitar Lembah Klang pulih sepenuhnya setakat 6.30 pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata baki 136 kawasan masih dalam proses pemulihan.

Menurutnya, bekalan air di Petaling mencatatkan peratusan pemulihan sebanyak 95.72 peratus; Gombak (94.89 peratus); Kuala Lumpur (85.02 peratus); Klang/Shah Alam (59.32 peratus) manakala Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor masing-masing mencatatkan peratusan pemulihan sepenuhnya (100 peratus).

“Sebanyak lapan kawasan masih belum pulih sepenuhnya walaupun tersenarai di dalam kawasan (Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak dan Kuala Lumpur) yang sepatut pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam, 7 Sept manakala, 54 kawasan terjejas juga masih belum mendapat bekalan air yang sepatutnya pada 12 tengah malam, 8 Sept.

“Para pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini, pagi ini.

Beliau berkata Air Selangor sedang berusaha menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan terlibat.

Gangguan bekalan air sekitar Lembah Klang bermula 3 Sept lepas apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3, dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah.