“AHLI parti yang kecewa tidak harus mengambil keputusan untuk keluar, sebaliknya terus berjuang untuk parti. Apabila bercakap mengenai kesetiaan terhadap parti, memang dalam hidup kita banyak kelemahan. Kadangkala kita berada di atas dan kadangkala di bawah.”

Demikian peringatan penting Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada ahli-ahli parti PBB ketika menyampaikan amanat pada Konvensyen Khas PBB Zon Utara di Miri Sabtu lalu.

“Beliau bukan sekadar bercakap, tetapi bercakap serupa bikin”. Ini kerana beliau sendiri pernah berasa kecewa, tetapi tidak pernah mengalah kerana ingin berjuang untuk parti dan demi parti.

Misalnya pada 1987 dalam peristiwa Ming Court, beliau tetap setia bersama-sama mantan Ketua Menteri Allahyarham Adenan Satem dan pemimpin PBB yang ada sekarang.

Dalam PBB, kesetiaan sentiasa menjadi pegangan, malah ia merupakan sebahagian daripada budaya PBB itu sendiri yang sudah pun berakar umbi. Dan ia sebagai antara kekuatan dan azimat PBB selama ini, sebagai sebuah parti yang berjenama dan disegani ramai.

Ini kerana PBB mempunyai agenda yang jelas, agenda pembangunan berterusan untuk membela nasib rakyat jelata, sama ada di bandar, pinggir bandar, luar bandar atau pedalaman.

Keluasan Sarawak yang hampir menyamai tanah Semenanjung Malaysia bukanlah alasan bagi PBB.

Dalam sesebuah parti politik ia bukan sekadar misi, visi mahupun dasar perjuangan, tetapi ia adalah mengenai kepercayaan.

Kepercayaan yang tinggi dalam diri setiap ahli terhadap parti memainkan peranan penting untuk mengukuhkan parti.

Pada masa yang sama kepercayaan pucuk pimpinan terhadap ahli-ahli juga penting bagi mewujudkan suasana harmoni, saling mempercayai dan saling menghormati.

Inilah kunci yang akan membentuk kekuatan dan keutuhan sesebuah parti.

Jangan hanya kerana masalah remeh-temeh atau ‘ribut di dalam cawan’ ia diperbesarkan, sehingga mengambil keputusan untuk menarik diri seperti yang dilakukan oleh pemimpin tertinggi di peringkat nasional.

Bukan sekadar keluar parti, tetapi menubuhkan parti baharu. Lebih memburukkan ia memecah-belahkan rakyat. Oleh itu, apabila menjadi ahli sesebuah parti, ia bukanlah mengenai kedudukan, tetapi ia adalah mengenai sumbangan… bagaimana anda boleh memberi sumbangan kepada parti yang anda wakili.

Dan parti itu sendiri harus bijak dalam perancangan, mempunyai misi dan agenda yang jelas. Malah mesti tahu cara-cara untuk menunaikan setiap janji yang ditaburkan, lebih-lebih lagi selepas memenangi sesuatu pilihan raya.

Kalau tidak, jangan hairan melihat ahli-ahli akan berduyun-duyun meninggalkan parti, gara-gara hilangnya kepercayaan terhadap pucuk pimpnan.

Oleh itu, cabaran sesebuah parti politik bukannya sedikit, dan ia memerlukan daya kepemimpinan yang tinggi bagi memastikan hala tuju parti berada di landasan yang betul, tepat, sekali gus mengekalkan kepercayaan ahli, rakyat dan pada masa yang sama berjaya menarik lebih ramai ahli baharu.

Sama ada menjadi ahli parti, atau menjadi YB, ia bukanlah tempat untuk mengejar pangkat dan darjat, tetapi ia adalah untuk rakyat, yakni berkhidmat demi rakyat.