KOTA SAMARAHAN: Wanita perlu terus memainkan peranan sebagai penggerak perubahan kepada masyarakat dengan menyebarkan agenda kerajaan, kata Naib Presiden Parti PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya, ia bagi memastikan masyarakat mengetahui rancangan kerajaan yang telah disusun baik terutamanya aspek pembangunan dan sosial. “

Selain berkomunikasi dengan masyarakat mengenai projek dilaksanakan kerajaan, wanita juga berupaya menyebarkan maklumat penting supaya orang ramai dapat mengikuti perkembangan agenda pembangunan terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog sempena program Sarawak Kita Empun yang diadakan di Dewan Suarah Samarahan di sini pada Sabtu.

Hadir sama Ahli Parlimen Kota Samarahan selaku pengerusi jawatankuasa penganjur program, Rubiah Wang, Ahli Parlimen Batang Lupar yang juga Timbalan Presiden II Wanita PBB serta Penasihat Khas Ketua Menteri Datuk Seri Rohani Karim dan Menteri Muda Undang-undang, Perhubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek selaku Bendahari Wanita PBB Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan juga menggesa wanita untuk memikul tanggungjawab menepis segala tuduhan pembangkang terutama menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

Menurut Adun Asajaya itu kebanyakan janji yang dibuat pembangkang yang dikitar semula semata-mata untuk memikat hati masyarakat luar bandar.

“Pembangkang sekarang kehabisan modal untuk mendapatkan sokongan dan isu lama yang dibangkitkan merupakan perkara remeh dan tidak masuk akal,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan menekankan bahawa Kerajaan Sarawak sangat konsisten menunaikan janji kepada rakyat.

“Pembangkang tidak menyedari apa yang kita lakukan untuk rakyat dan tidak lupa juga jumlah bantuan bernilai berbilion ringgit yang diberikan susulan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau yakin rakyat tidak akan mudah terpedaya dengan dakwaan tidak berasas parti pembangkang yang sudah turun berkempen di kawasan luar bandar meskipun PRN-12 belum ditetapkan lagi.