SARIKEI: Seorang lelaki ditemui lemas selepas terjatuh dari sebuah kapal tongkang ke dalam sungai berhampiran Jalan Langsat di sini, semalam.

Dalam insiden sekitar jam 9.30 pagi itu, mangsa yang berusia 42 tahun tiba-tiba terjatuh sebelum mayatnya dijumpai pasukan Bomba dan Penyelamat Sarikei berhampiran lokasi kejadian pada jam 10.15 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, lapan anggotanya bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan daripada penduduk di kawasan berkenaan.

Sebaik tiba di lokasi katanya, anggotanya melakukan operasi pencarian sebelum menjumpai mayat mangsa tidak jauh dari tempatnya terjatuh.

“Mangsa yang juga rakyat tempatan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik. Mayatnya kemudian diserahkan kepada pihak Polis sebelum dibawa ke Hospital Sarikei untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Mahmudin berkata, setakat ini punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Bagaimanapun katanya, saksi ternampak mangsa terjatuh ke dalam sungai dan cuba untuk menyelamatkannya namun gagal.

“Rakannya menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” ujarnya.