PADAWAN: Lima lelaki dicekup polis ketika sedang leka bermain judi terup di sebuah premis makan berhampiran Jalan Matang, Taman Sungai Valley, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata, kegiatan kelima-lima suspek terbongkar hasil serbuan pemeriksaan dijalankan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Padawan sekitar jam 3.48 petang.

Menurutnya, kesemua suspek masing-masing berusia lingkungan 56 hingga 76 tahun itu mengaku bermain judi ketika tangkapan dilakukan terhadap mereka.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka(suspek) disyaki bermain judi susulan penemuan 52 keping daun terup dan sejumlah wang tunai bernilai RM180 di lokasi kejadian,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua suspek bagaimanapun didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

DAUN… judi daun terup antara barangan kes yang dirampas hasil pemeriksaan JSJ IPD Padawan di sebuah premis di Matang

Katanya, kesemua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam pada itu, Aidil turut mendedahkan Ops Dadu turut menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki menjalankan aktiviti penjualan judi dalam talian berhampiran lokasi sama sekitar jam 3.45 petang.

“Suspek berusia 24 tahun itu ditemui bersama seunit telefon bimbit jenama Neffos serta wang tunai berjumlah RM118 disyaki barang kes oleh pasukan operasi di tempat kejadian.

“Beliau(suspek) ketika dicekup turut mengaku bekerja sebagai penjual judi dalam talian dan semakan rekod juga mendapati suspek pernah ditangkap atas kesalahan jenayah sama” katanya lagi.

Tegas Aidil, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Susulan itu, ujarnya, kesemua suspek yang ditahan kini dibawa ke IPD Padawan untuk tindakan siasatan lanjut.