DEBAK: Sesuatu isu biarpun kecil, mungkin sering dipandang remeh dan harus diselesaikan dengan toleransi atau sikap berbuang berambik atau toleransi, tegas Adun Saribas Mohammad Razi Sitam.

Katanya, segera padamkan bara perkauman yang menjurus kepada perpecahan bukan sahaja antara kaum bahkan sesama kaum.

“Setiap perbezaan dianugerahkan kepada warga Sarawak sebenarnya satu nikmat dan keunikan yang harus dijaga dengan sebaikbaiknya.

“Misalnya pengurusan tanah, kadang-kadang berlaku sedikit percanggahan yang mungkin disebabkan kesilapan pihak tertentu yang terambil atau tersalah sukat dan sebagainya.

“Kalau dirujuk kepada saya, saya mengesyorkan ketua kaum untuk mempraktikkan konsep berbuang-berambik atau toleransi dalam menyelesaikan isu sedemikian.

“Kerana ada isu yang kecil, mungkin remeh bagi kita tetapi kalau tidak ditangani dengan betul, boleh membawa kepada rasa kurang percaya kepada kaum lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan program Aspirasi Merdeka 2020 anjuran Jabatan Penyiaran Sarawak dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat Saribas di Dewan Perpaduan.

Dahulu jelasnya, konsep perpaduan dan kekeluargaan dalam masyarakat sangat kuat.

“Sehingga di Sarawak, orang Melayu, masyarakat Iban sanggup saling meminjam tanah untuk bertanam padi.

“Inilah yang selalu disebut Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem bagaimana konsep perpaduan dahulu yang kita pegang harus dikekalkan.

“Alhamdulillah, semoga perpaduan yang kita ada pada hari ini juga akan terus dipertahankan, diperbaiki dari semasa ke semasa.

Janganlah kita hanya menganggap zaman nenek moyang dahulu semua baik-baik sahaja, zaman kita sebaliknya.

“Tinggalkan sesuatu yang bagus untuk generasi kita pada masa akan datang.

Jangan bermain sentimen dan padamkan sebarang punca yang membolehkan bara perkauman daripada menyala,” ujarnya.

Tambah Razi, abad lalu tanah air ini pernah dijajah Portugis, Belanda, British dan Jepun yang jelas menunjukkan betapa sakitnya dipegang orang luar yang berniat tidak baik.

“Maka, pada alaf baharu ini jangan pula kita membiarkan negara terus dijajah dengan kejahilan, taasub, rasa curiga dengan sentimen yang tidak baik sesama kita yang dicipta sendiri.

“Misalnya menyalahgunakan media sosial yang disifatkan lebih bermasalah kepada keharmonian dengan menularkan fakta tidak betul,” jelasnya.

“Sebagai bangsa yang bermaruah, berbanggalah menjadi formaliti kebangsaan sebagai rakyat yang waras dan matang.

“Kita harus kembali kepada akarnya di samping menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa dan realiti terkini serta masa depan,” tambahnya.

Hadir sama Pengarah Penyiaran Sarawak Abdul Hadi Mohd Yusoff, Pengurus RTM Sri Aman Noraini Ibrahim, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak Nazari Bujang dan Temenggung Bahagian Betong Pi’ee Alwi.