SPINANG: Adun Beting Maro Razaili Gapor menyambut baik kerjasama pihak luar untuk bersama-sama meningkatkan usaha ke arah digitalisasi di kawasan luar bandar.

Katanya, ini kerana Beting Maro seperti kawasan luar bandar yang lain masih memerlukan banyak suntikan khususnya dalam penyediaan infrastruktur berkaitan.

“Saya menyambut baik usaha Kerajaan Sarawak melalui pihak Pustaka Sarawak untuk melaksanakan Projek Pusat Komuniti Digital Sarawak di Perpustakaan Desa Kampung Spinang.

“Sekurang-kurangnya kelak masyarakat di sini tidak ketinggalan dalam arus digitalisasi. “Bagi saya, dalam kita melengkapkan infrastruktur asas yang lain, tidak salah pada masa yang sama kita memperkasakan ekonomi digital.

“Saya juga berharap kemudahan dan sistem telekomunikasi akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya ditanya selepas lawatan tapak Projek Pusat Komuniti Digital Sarawak di sini bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Sarawak Dr. Rashidah Bolhassan.

Jelasnya, usaha Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari memperkasakan ekonomi digital harus disambut baik oleh semua pihak.

“Walaupun di kampung-kampung keadaannya agak perlahan, tetapi saya percaya kerajaan mempunyai perancangan tersendiri termasuk inisiatif memperbanyakan menara telekomunikasi.

“Apa yang penting ketika ini, masyarakat sendiri harus mula berjinak-jinak untuk mengadaptasi cara kehidupan baharu yang sedikit sebanyak semakin berubah,” ujarnya.

Menurut Razaili, Projek Pusat Komuniti Digital Sarawak bertujuan menyediakan platform perkhidmatan dan sokongan ICT selain memperkasakan kemahiran digital dalam komuniti untuk membina kapasiti bakat.

Juga menawarkan pembangunan bekalan kepada pengusaha tempatan dan meningkatkan kesedaran dan ketersediaan digital bagi keperluan semasa dan masa hadapan.

Perpustakaan Desa Kampung Spinang yang terletak di dalam Dun Beting Maro merupakan antara 42 perpustakaan yang dipilih untuk projek berkenaan.

Ia berperanan sebagai pusat latihan berkaitan digital yang akan mendedahkan penduduk kampung kepada dunia luar. Turut hadir Ketua Kampung Spinang Musa Zain.