BELADIN: Kerajaan Sarawak bersungguh-sungguh menuntut hak dan kepentingan negeri bagi memastikan rakyat menikmati keistimewaan dengan kedudukannya sebagai salah satu daripada empat wilayah yang membentuk Malaysia pada 1963.

Adun Beting Maro Razaili Gapor memberitahu, Sarawak sebenarnya belum menikmati sepenuhnya hasil penubuhan Malaysia memandangkan masih jelas wujud ketidakseimbangan kemajuan di wilayah tersebut.

“Maka, perjuangan kita sebagai anak Sarawak untuk menuntut hak dan kepentingan supaya terus terbela dengan harapan jurang pembangunan di wilayah yang membentuk Malaysia ini dapat dikurangkan.

“Dengan itu, barulah nikmat kemerdekaan dapat dirasai bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Merdeka @ Komuniti Peringkat Daerah Pusa anjuran Jabatan Penerangan Betong di Dewan al-Amin, semalam.

Jelasnya, rakyat di negeri ini harus mengetahui dan memahami sejarah di sebalik sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai, Hari Kebangsaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September.

“Kerana, salah tanggap terhadap sejarah boleh menimbulkan kesan yang cukup besar khususnya dalam kalangan generasi baharu.

“Saya menggesa agar warga Bumi Kenyalang untuk mengetahui sedalam-dalamnya mengenai ketiga-ketiga sambutan tersebut selain menyemai semangat kenegaraan,” ujarnya.

Razaili menambah, perpaduan amat penting dan kepelbagaian bangsa dan agama tidak dijaga, kita tidak dapat mengecapi ketenteraman di tanah air sendiri.

“Begitu juga jika tiada perpaduan, apa juga program pembangunan akan berhadapan kesulitan.

Justeru, semangat perpaduan dan kenegaraan harus ada,” jelasnya.

Antara lain katanya, perjuangan memerangi ancaman yang tidak kelihatan seperti aktiviti judi dalam talian kerana ia mendatangkan lebih banyak keburukan.

“Percayalah, tidak bermakna kita meraikan kejayaan negara dalam masa yang sama wujud anasir negatif yang merosakkan anak bangsa secara senyap,” tambahnya.