TEBEDU: Demi pendidikan anakanak, ibu bapa digesa untuk menerima pembinaan sekolah berpusat yang bakal dibina di Tebedu.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, sebanyak RM350 juta telah diperuntukkan untuk membina sekolah berpusat itu berhampiran SMK Tebedu.

Menurutnya, cadangan untuk membina sekolah berpusat tersebut ditolak oleh sekolah-sekolah kecil dan hanya 25 hingga 26 peratus yang bersetuju untuk menutup sekolah tersebut.

Oleh itu, katanya, satu sesi dialog akhir akan diadakan pada 26 September ini, melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian bersama-sama ketua kaum dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Kita hendak merayu kepada ibu bapa supaya menerima sekolah berpusat ini, sekolah-sekolah kecil ini walaupun 100 peratus dari segi keputusan lulus, tetapi kelulusan tidak ada kualitinya.

“Sebab itu, bagi Bahagian Serian, selama ini, ada kalanya satu tahun, tiada seorang murid pun yang layak memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG) kerana keputusan hanya setakat lulus sahaja. IPG seluruh Malaysia hanya menerima sekurangkurangnya 5 A di peringkat SPM.

“Keputusan ini tidak memuaskan disebabkan dari segi asasnya, darjah satu sehingga darjah enam kadang-kadang hanya lulus mendapat B sahaja.

Apabila memasuki tingkatan satu hingga lima, kebanyakan mereka ini hanya lulus, tetapi tidak dapat melanjutkan pelajaran ke IPG, diploma mahupun universiti,” katanya pada perasmian landskap Bandar Mutiara Tebedu, Serian malam Jumaat.

Dalam pada itu, Manyin turut memberitahu, para pelajar di sekolah berpusat ini akan diajar oleh guru-guru yang mengajar subjek yang telah dilatih semasa pengajian.

Jelasnya, keputusan di sekolah-sekolah kecil kurang memuaskan kerana kebanyakan guru tidak terlatih untuk mengajar subjek-subjek tertentu.

Oleh itu, beliau mengingatkan ibu bapa dan ketua kaum untuk mengutamakan pendidikan demi anak-anak mereka dan menyokong pembinaan sekolah berpusat.

“Jika anda ingin menghadapi revolusi industri 4.0, setakat lulus tidak cukup, harus lulus dengan cemerlang,” ujarnya.

Terdahulu, Manyin yang juga Adun Tebedu telah merasmikan Landskap Bandar Mutiara Tebedu yang diperuntukkan RM700,000. Katanya, RM500,000 telah digunakan untuk projek Landskap Bandar Mutiara yang siap Ogos ini.

Jelas Manyin, baki peruntukan tersebut akan digunakan oleh MDS untuk mengindahkan landskap dengan menanam pokok.