SIMANGGANG: Bandar Simanggang akan menjadi lokasi persinggahan strategik dengan siapnya Jambatan Batang Lupar Kedua dan Jalan Utama Kedua, kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak yang diteraju Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat mampu mengubah landskap pembangunan secara menyeluruh antara warga desa dan kota.

“Pendapatan negeri yang kukuh menjadi jaminan kepada pembangunan infrastruktur yang sangat diperlukan oleh rakyat.

“Misalnya melalui pembinaan Jambatan Batang Lupar Kedua yang sedang dalam pembinaan akan memberi manfaat kepada peniaga yang majoriti kaum Cina.

“Ini kerana, sebaik siap pembinaan jambatan tersebut bakal menjadikan Bandar Simanggang sebagai lokasi persinggahan strategik bagi mereka yang ingin menggunakan jalan pintas ke Bahagian Betong,” katanya.

Beliau yang juga Adun Simanggang berkata demikian selepas menyantuni penduduk Taman Harmoni (Melayu) pada program gotong-royong membersihkan padang sepak takraw di sini, kelmarin.

Jelasnya antara lain ialah, pembinaan Jalan Utama Kedua yang menghubungkan Bandar Simanggang dari Kota Samarahan melalui Sebuyau-Lingga terus Bandar Simanggang.

“Jalan perhubungan tersebut di bawah tanggungan kerajaan GPS dan ia merupakan komitmen kerajaan kepada rakyat Sarawak untuk melengkapkan perhubungan ke kawasan luar bandar selain Lebuh Raya Pan Borneo,” ujarnya.

Harden memuji tindakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Harmoni (Melayu) di bawah pengerusi baharu dan berharap agar mereka dapat mengekalkan momentum aktiviti pertubuhan yang memberi manfaat kepada penduduk setempat sebagai platform penyatuan.

Aktiviti gotong-royong tersebut dianjurkan oleh JKKK Taman Harmoni (Melayu) dengan kerjasama Majlis Daerah Sri Aman dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Adun Simanggang yang disertai 55 penduduk diketuai oleh Ketua Kampung Ahmad Alwi Kipli.

Harden dalam pada itu sempat bersama-sama penduduk dalam program gotong-royong anjuran JKKK RPR Fasa 2, Taman Sentosa Indah.