KUCHING: Golongan belia kawasan luar bandar digalakkan menyertai pertandingan sukan elektronik (e-sukan) bagi memberi pendedahan mengenai penggunaan teknologi digital masa kini.

Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata, belia luar bandar masih kurang ilmu pengetahuan mengenai permainan tersebut serta perlu didedahkan dengan pusat permainan sukan elektronik seperti di Taman D-Virtual, Kota Samarahan.

“Untuk kawasan saya Dun Balai Ringin nanti, saya sendiri akan membuat satu program membawa 100 hingga 200 belia luar bandar melawat ke Taman D-Virtual.

“Mungkin sebelum ini mereka hanya melihat di televisyen atau telefon pintar mengenai taman ini.

Suasananya tidak sama seperti pengalaman sendiri yang datang melawat dan mencuba permainan video di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas Program Dialog Awam Santai E-sports Dengan Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak di Taman Virtual, Kota Samarahan, di sini, semalam.

Snowdan berharap agar persatuan atau kelab e-sukan yang lain bergabung dengan Persatuan Sukan Elektronik Sarawak (Sesa) sekiranya ingin mengadakan pertandingan.

“Kita tahu banyak persatuan e-sukan di luar sana yang ingin mengadakan lebih banyak pertandingan.

Namun, kita galakkan mereka mengadakan kejohanan di bawah payung Sesa supaya mendapat lebih banyak impak positif.

“Sesa boleh memberi bimbingan, bantuan serta mempromosikan pertandingan kerana persatuan ini adalah besar serta mendapat kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan,” ujarnya.

Tambah Snowdan, sekiranya mereka memberi kerjasama sepenuhnya kepada KBS, kementerian boleh membantu dari segi memberi peruntukan melalui Sesa.

Snowdan turut bangga apabila menerima pujian daripada Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam Sidang Parlimen tempoh hari kerana Sarawak satu-satunya negeri yang pertama mempunyai tempat permainan e-sukan di Malaysia.

Ujarnya, pertama kali datang ke D’Virtual Park terasa teruja apabila melihat alat-alat permainan video maya yang canggih digunakan sekali gus menjadikan mercu tanda dalam sukan elektronik.

Hadir sama ialah Presiden Persatuan E-Sukan Sarawak (Sesa), Afiq Fadhli Narawi, Pengurus Bahagian Pembangunan Sukan Sarawak (SSC), Ahmad Rodzli Hashim dan Pengurus Kumpulan Serba Dinamik Sdn Bhd, Muliawadi Imran.