KUCHING: Kawasan Batu Kitang memiliki potensi besar untuk mempromosikan produk pelancongan yang menarik, kata Datuk Seri Nancy Shukri. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) itu berkata, banyak tempat menarik di sekitar Batu Kitang yang boleh diterokai dan dijadikan sebagai produk pelancongan.

Beliau turut menyambut baik cadangan Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang untuk membina tebingan sungai di kampung itu yang pasti menarik minat masyarakat untuk menikmati keindahan alam sekitar kampung tersebut.

“Kita perlu menggunakan sepenuhnya kawasan yang ada di kampung ini. Memandangkan kita berada di tebing sungai, ia boleh dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan.

“Kita sedang mempromosikan produk domestik dan membawa kembali teksi sungai di kawasan ini. Bayangkan, ia pasti mencetus suasana mesra alam. Kita perlu perkenalkan apa yang kita miliki kepada dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa lawatan ke Kampung Batu Kitang sempena Program Lan Berambeh ke Batu Kitang di sini, pada Ahad.

Tambahnya, pelbagai produk pelancongan seperti perkampungan baharu Buddha, Siniawan, Taman Nirvana, tarian singa, kompang, kraf tangan yang dapat membantu mempromosikan Batu Kitang untuk mewujudkan satu ekonomi baharu.

Nancy berharap setiap ahli parlimen dan Adun memainkan peranan mempromosikan produk pelancongan di kawasan masing-masing.

“Kita boleh meminta penduduk setiap kawasan untuk bertanding. Kemudian mengenal pasti 10 produk di kawasan mereka termasuk sejarahnya.

“Kadangkala kita tidak sedar di belakang rumah pun ada produk pelancongan. Jadi, kita perlu tahu untuk mengangkatnya menjadi produk pelancongan,” jelasnya.

Terdahulu Khere Chiang menjelaskan peruntukan untuk cadangan pelaksanaan projek tebingan sungai Batu Kitang berjumlah RM30 juta.

“Peruntukan ini kita minta daripada Kerajaan Persekutuan. Jumlah ini akan meningkat pada masa akan datang.

“Projek dianggarkan siap sepenuhnya tiga tahun lagi atau lebih lama kerana ia di bawah pelan pembangunan jangka panjang,” jelasnya.

Khere Chiang berkata, dana daripada Kerajaan Sarawak juga diperlukan untuk menjayakan projek pembangunan di situ supaya warganya dapat menikmati kemajuan seperti kawasan lain.

Dalam perkembangan lain, Nancy mengumumkan peruntukan RM3,000 untuk setiap JKKK di 18 kampung Batu Kitang untuk melaksanakan aktiviti kampung.