BINTULU: Dua anak-beranak tersepit setelah kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kidurong, malam semalam.

Penyelia Pasukan Bomba dan Penyelamat Bintulu PBKII Winston Tan berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 8.33 malam itu membabitkan sebuah kenderaan jenis Myvi.

Menurutnya, pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati bapa dan anaknya tersepit di dalam kenderaan terbabit.

“Pasukan operasi bertindak mengeluarkan dan membawa keluar kedua-duanya.

“Setelah itu, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan sebelum dibawa ke Hospital Bintulu untuk tindakan rawatan awal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Susulan itu, katanya, pasukan bomba yang terdiri daripada lima anggota melakukan kerja pembersihan di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya sekitar jam 9.13 malam.

Ujarnya, empat anggota polis dan lima petugas perubatan turut hadir di lokasi kejadian.