KOTA SAMARAHAN: Tiga kenderaan bertembung menyebabkan dua individu cedera dalam kemalangan jalan raya di Batu 15 Jalan Samarahan Bypass, awal pagi semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima makluman kejadian pada jam 12.22 tengah malam sebelum mengerahkan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan ke lokasi.

Menurutnya, kesemua mangsa ditemui dalam keadaan selamat namun dua daripadanya mengalami kecederaan akibat pelanggaran terbabit.

“Komander operasi melaporkan kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu kereta jenis Bezza, Axia dan Van Ford telah bertembung.

“Terdapat dua mangsa mengalami kecederaan dan telah diberi rawatan kecemasan awal sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Susulan itu, katanya, pasukan bomba seterusnya membuat kerja-kerja pembersihan di kawasan kemalangan bagi memastikan jalan raya di lokasi dalam keadaan terkawal. Ujarnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.30 pagi.