MIRI: Sasaran liputan menyeluruh bekalan air bersih kepada setiap isi rumah di Sarawak dijangka mampu dicapai menjelang 2025.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, keyakinan itu berdasarkan komitmen Kerajaan Sarawak memperkenalkan projek pembangunan bekalan air berskala besar iaitu Grid Air Negeri.

Menurutnya, melalui projek pembangunan tersebut, empat empangan utama di Sarawak akan menjadi sumber air.

“Lima tahun akan datang merupakan tempoh penting untuk kita membekalkan air ke seluruh negeri.

“Beberapa perancangan telah diatur walaupun keadaan muka bumi di negeri ini agak mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Penghargaan Sukarelawan Dun Telang Usan dan Myhumanitarian di sini, malam semalam.

Majlis diadakan bagi meraikan sukarelawan dari Malaysian Myhumanitarian Movement yang menjayakan Projek Komuniti Gotong-royong Membina Saluran Bekalan Air Bersih di tiga kampung di kawasan Dun Telang Usan.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU menjelaskan, bagi kawasan terpencil pula, Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (Sawas) telah diperkenalkan sejak 2018.

“Pakej 1 program ini yang melibatkan 15 lokaliti sudah dibekalkan dengan air bersih manakala pakej 2 melibatkan 50 lagi lokaliti,” ujarnya.

Menurutnya, liputan air bersih bagi kawasan bandar di negeri ini sekitar 98 peratus manakala 67 peratus bagi kawasan luar bandar.

“Oleh itu, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) akan memacu usaha untuk memastikan kawasan luar bandar dapat dibekalkan dengan air bersih dalam masa terdekat.

“Kita yakin JBALB mampu merealisasikan sasaran Kerajaan Sarawak walaupun dibarisi ratarata kakitangan yang muda,” jelasnya.

Adun Telang Usan Dennis Ngau dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk M Noor Azman Taib antara yang turut hadir.