KUCHING: Persatuan Graduan Bidayuh Sarawak (BGA) mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong pada Isnin lalu.

Kunjungan hormat yang diketuai oleh Presidennya, Profesor Dr Andrew Ragai adalah untuk memperkenalkan exco baharu BGA kepada Manyin yang juga penasihat kepada BGA dan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).

Pada kunjungan hormat itu, Manyin diberi penerangan oleh Andrew mengenai aktiviti dan pelan strategik untuk 2020 hingga 2023 dan mendapat nasihat yang lebih lanjut daripada Manyin mengenai visi dan misi persatuan. BGA turut membentangkan kepada Manyin mengenai aktiviti dan pelan strategik utama BGA seperti mengadakan klinik prapeperiksaan untuk UPSR, PT3, SPM dan STPM di empat kawasan majoriti Bidayuh seperti Serian, Padawan, Penrissen, Siburan, Bau dan Lundu.

Tambahan itu, BGA juga mengadakan kajian dan pembangunan mengenai profil pelajar dan profil sosioekonomi Bidayuh yang bertujuan untuk pembangunan kaum Bidayuh melibatkan pembangunan usahawan.

BGA turut mempromosikan program berkaitan Stem dan Tvet kepada pelajar-pelajar sekolah melalui bengkel, sesi dialog awam bersama golongan profesional Bidayuh yang berjaya dan usahawan dari Kuala Lumpur, Miri,
Bintulu dan luar negara.

Selain itu, BGA juga menyasarkan 2,000 ahli berdaftar menjelang 2023.

Dalam pada itu, Manyin menasihatkan BGA untuk terus teguh dan fokus terhadap sokongan mereka untuk kemajuan pendidikan kaum Bidayuh melalui kerjasama dengan DBNA, Kementeriannya dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

Nasihat Manyin lagi, beliau menggalakkan BGA untuk mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat dan perubahan diri dengan membaca agar ilmu dapat dikongsikan melalui sesi sumbang saran.

Tambahnya, ahli BGA digesa untuk menyumbang semula kepada masyarakat terutamanya kaum Bidayuh dalam bidang pendidikan.

Dalam mengukuhkan sokongan terhadap BGA, beliau telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk kegunaan aktiviti BGA.