KUCHING: Kementerian Perpaduan Negara sedang berusaha untuk membangunkan Dasar Perpaduan Negara, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Katanya, usaha untuk membangunkam dasar itu diikuti sesi maklum balas Pelan Tindakan Perpaduan Negara yang yang bermula 22 Ogos lalu.

Jelasnya, dalam tempoh sebulan sebanyak 10 negeri mengemukakan maklum balas berhubung pelan perpaduan manakala empat negeri lagi sedang diuruskan.

Kata Halimah, kerajaan tidak ada niat untuk meneruskan Suruhanjaya Keharmonian Nasional yang dibatalkan sebelum ini.

“Kerajaan tidak akan meneruskan penubuhan suruhanjaya berkenaan kerana undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menjaga keharmonian kaum dan agama.

“Pihak yang sengaja memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian boleh disiasat dan didakwa dibawah peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya menjawab pertanyaan Senator Datuk Paul Igai pada persidangan Dewan Negara semalam.

Mengenai cadangan menubuhkan satu jawatankuasa seperti Unifor di Kerajaan Persekutuan, Halimah memberitahu, Kementerian Perpaduan Negara bersamasama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di bawah Jakim menubuhkan satu jawatankuasa keharmonian antara pelbagai agama yang dinamakan sebagai Harmoni.

Jelasnya, ahli dalam jawatankuasa Harmoni ini dilantik terdiri daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Perpaduan Negara dan ketua badan agama serta pengerusi Persatuan Badan Agama juga diletakkan dalam jawatankuasa yang berkepentingan kepelbagaian agama yang lain selain Islam