LUNDU: Seorang wanita warga emas maut manakala suaminya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta di simpang empat Jalan Pueh – Telok Melano, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata kejadian dilaporkan sekitar jam 3.24 petang, dipercayai berpunca daripada kecuaian suami mangsa apabila keluar dari simpang tanpa berhenti.

Katanya semasa kejadian, pasangan suami isteri berusia 83 dan 81 tahun itu keluar dari simpang Kampung Pueh manakala kereta terbabit datang dari arah Lundu menuju ke Telok Melano.

“Akibat kemalangan ini, pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian sementara penunggang mengalami kecederaan parah di badan dan telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Alexson berkata pemandu kereta terbabit, seorang lelaki berusia 26 tahun dari Samariang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.