KUALA LUMPUR: Trend orang ramai ketika ini melakukan ‘fist bump’ atau menggenggam tangan dan melagakannya apabila berjumpa perlu dielak untuk mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata orang ramai dinasihat berhati-hati kerana perbuatan itu melibatkan sentuhan fizikal yang tidak digalakkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Jangan bersalaman dan bersentuhan termasuk lagakan anggota badan, namun hari ini saya lihat trend bukan sahaja melakukan begini (fist bump) tetapi genyeh lagi, adakah kita mencuci tangan selepas itu.

“KKM hanya anjur hormat dengan meletak tangan di dada dan tunduk hormat, jadi saya lihat trend yang sedang berlaku kini tidak baik dan saya sarankan supaya berhati-hati,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini .

Dr Noor Azmi menjawab soalan tambahan Senator Lim Pay Hen yang bertanyakan perancangan kerajaan hadapi wabak COVID-19 yang dijangka oleh saintis akan berlanjutan dua tahun lagi termasuk dari segi perjawatan pegawai perubatan.

Mengulas perkara itu, beliau berkata Malaysia terbukti sebagai antara negara yang berjaya mengawal dan mengurus wabak itu dengan baik sehingga diiktiraf dunia dan kerajaan akan melipatgandakan usaha itu.

“Kita akan terus memantau perkembangan wabak ini dari semasa ke semasa kerana kita masih belum mengenalinya, senjata yang kita ada ada ketika ini hanyalah pelitup muka dan pensanitasi tangan, selain penjarakan fizikal,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata saringan pengesanan COVID-19 setakat ini hanya dilakukan terhadap individu bergejala serta berisko tinggi, dan buat masa ini tiada cadangan untuk memberikan perkhidmatan itu secara berkala dan percuma kepada guru sekolah.

“Kerajaan telah bangunkan prosedur operasi standard (SOP) dalam pelbagai subsektor termasuk sektor pendidikan, justeru pematuhan pada SOP ini adalah penting bagi memastikan tiada penularan jangkitan COVID-19 di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew yang bertanyakan sama ada kerajaan bersedia memberikan perkhidmatan ujian percuma dan berkala kepada guru sekolah.