MIRI: Lima individu termasuk seorang wanita ditahan polis pada Isnin kerana disyaki terlibat dalam kes curi kabel di sekitar pembinaan Jalan Pan Borneo di sini yang membabitkan anggaran kerugian sebanyak RM750,700.

Penangkapan kesemua suspek dilakukan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri dalam Ops Lusuh di beberapa lokasi berasingan di KM12 Bakam Jalan Miri-Bintulu, Taman Tunku dan di kawasan Perindustrian Permyjaya pada 7 September.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah ketika dihubungi berkata, siasatan mendapati kegiatan curi kabel oleh tiga suspek lelaki berusia antara 21 hingga 27 tahun itu sudah aktif sejak hujung tahun lepas dan kes yang terakhir dilaporkan pada 5 Ogos lalu.

“Mereka ditahan di dua lokasi berasingan dalam tempoh 24 jam dan hasil siasatan mendapati dua suspek lelaki mempunyai sekurang-kurangnya empat rekod jenayah, termasuk dadah,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, seorang wanita dan rakannya, kedua-dua berusia 50-an, yang disyaki pembeli barangan curi pula berjaya ditangkap di Taman Tunku dan kawasan perindustrian Permyjaya, sekitar jam 2.35 hingga 4.15 petang, hari yang sama.

Barang rampasan ialah tiga bilah parang, seunit gergaji besi, seunit alat penarik kabel dan segulung wayar tembaga anggaran berat 3.5 kilogram.

Ujar Meng Seah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Terdahulu, seorang kontraktor Pan Borneo, Jalan Miri-Bintulu, berdekatan Simpang Marudi membuat laporan polis berkenaan kehilangan wayar tembaga di lokasi pembinaan pada pagi Sabtu lalu.

Difahamkan, semasa kejadian, pengadu dan rakan sekerjanya membuat pemeriksaan untuk persediaan ujian tekanan di lokasi tersebut namun mendapati kabel sepanjang 12 meter telah hilang, dipercayai dicuri.

Anggaran kerugian disebabkan kehilangan itu ialah RM7,200.