MUKAH: Peniaga dinasihatkan untuk memastikan kandungan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang dijual perlu mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

Ketua Cawangan KPDNHEP Cawangan Mukah Salihin Den berkata, pihaknya boleh mengenakan tindakan jika timbangan ukuran berat isipadu tidak mencukupi.

“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu pernyataan palsu atau mengelirukan dan Seksyen 10 Akta Perlindungan Pengguna 1999 iaitu representasi palsu yang mengelirukan,” katanya kepada pemberita ketika pemeriksaan di salah sebuah gudang pemborong LPG di Mukah semalam Katanya, peniaga dinasihatkan untuk membuat permohonan lesen khas untuk menjual LPG.

“Ini bermakna peniaga perlu ada lesen Akta Kawalan Bekalan atau permit yang dikeluarkan oleh pihak KPDNHEP iaitu dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya.

Mengenai penyelewengan gas bersubsidi untuk tujuan industri, beliau menjelaskan setakat ini tiada laporan diterima untuk Bahagian Mukah.

“Tong LPG bersubsidi mempunyai berat isipadu 14 kilogram (KG) sementara berat tong gas 16.5 KG.

“Manakala pada Selasa (semalam), KPDNHEP Mukah melakukan pemeriksaan terhadap timbang berat isipadu LPG di peringkat pemborong dan peruncit di sekitar Mukah dan ia dilaksanakan bersama syarikat Metrology Corporation Sdn Bhd Cawangan Sibu.

“Dalam pemeriksaan itu tiada sebarang notis amaran dikeluarkan kerana semua timbangan mengikut berat isipadu tong dan berat tong menepati isi kandungan yang tercatat pada tong gas,” jelasnya.