MUKAH: Program Transformasi Luar Bandar diwujudkan untuk memajukan kampung tradisional dan rumah panjang di negeri ini, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.

“Melalui program ini, taraf hidup penduduk dapat ditingkatkan.

Pada masa yang sama akan melahirkan masyarakat yang patriotik, berinisiatif, berilmu dan berdikari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan ke Rumah Nuwie Seleyau, Sungai Nawan Balingian di sini sempena Mesyuarat Jawatankuasa Transformasi Luar Bandar bagi Rumah Panjang/Kampung Tradisional.

“Antara aspek transformasi yang diberi keutamaan ialah pembangunan ekonomi dan keusahawanan yang merangkumi pertanian, perladangan, penternakan, perikanan, pembuatan, peruncitan dan sebagainya.

“Ia juga membabitkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, bekalan air, telekomunikasi, Internet, jeti, sekolah, tempat ibadah, klinik, balai raya, padang sukan, gerai dan pasar tamu,” ujarnya.

Di samping itu katanya, pembangunan insan seperti pemerkasaan belia dan wanita, latihan, kepimpinan, pentadbiran juga diberi penekanan.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan penduduk tentang keselamatan rumah panjang dan kampung agar berhati-hati bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, misalnya kebakaran.

“Seperti yang kita sedia maklum, sebelum ini kerap berlaku kebakaran di rumah panjang mahupun di kampung.

“Jadi, kita hendaklah sentiasa berhati-hati sepanjang masa,” ujarnya.

Hadir sama ialah Adun Balingian Abdul Yakub Arbi, Pegawai Daerah Mukah Shafrie Saili dan Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Edwin Abit.