MATU: Seramai 50 penduduk melakukan aktiviti kemasyarakatan melalui Program Goyong-Royong membersihkan persekitaran Rumah Panjang Melanau, di Kampung Sok sini, baru-baru ini.

Ketua Kampung Sok, Nazzim Bahani berkata, program bermula pada jam 7.30 pagi itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Sok.

Menurutnya, aktiviti bertujuan mengeratkan silaturahim dan menanam semangat kerjasama dalam kalangan penduduk.

“Tujuan utama kerja amal ini adalah untuk menjadikan rumah panjang ini sentiasa bersih dan selesa untuk dilawati,” katanya.

Nazzim berkata, pihaknya akan sentiasa memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak yang ingin bersama-sama menjalankan kerja amal seperti itu.

“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir menjayakan program ini.

Begitu juga dengan sokongan Adun Jemoreng Datuk Dr. Juanda Jaya dan Pegawai Daerah Wan Wan Hipni Wan Mohamad.

“Mudah-mudahan kita dapat meneruskan penganjurannya pada masa akan datang,” katanya.

Rumah Panjang Kampung Sok selesai menjalani proses baik pulih di bawah projek Tranformasi Luar Bandar (RTP) Dun Jemoreng.

Sehubungan itu, penduduk berharap kerajaan akan terus melaksanakan usaha bagi memastikan khazanah bersejarah itu kekal menjadi pusat tumpuan pelancong di daerah Matu.

“Cadangan kerajaan untuk menaik taraf kawasan ini amat kami alu-alukan. Justeru, saya berharap usaha itu dapat diteruskan,” katanya.