SABTU lalu, dalam Konvensyen Khas PBB yang berlangsung di Hotel Meritz, Miri, Ketua Menteri yang juga Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengangkat isu kesetiaan.

Beliau berkata, setia adalah sesuatu yang amat penting dalam politik, kerana setia membina kekuatan dan jati diri seseorang pemimpin.

Kesetiaan juga penting kerana ia menguji seseorang pemimpin itu untuk bersikap sabar dan tenang.

Abang Johari sesungguhnya amat layak untuk mengungkapkan nasihat tersebut, kerana perjalanan politiknya cukup berliku dan bergelora, namun setianya cukup tebal.

Tidak mudah untuk beliau meredah cabaran onak duri di hadapannya. Beliau berhadapan pilihan dan dilema yang cukup besar.

Sewaktu Ming Court pada 1987, beliau memilih untuk kekal bersama-sama Tun Abdul Taib Mahmud dan terus bertahan, berkubu dengan PBB.

Manakala ketika pemilihan parti pada 1998, beliau yang menang jawatan Timbalan Presiden PBB, memilih untuk sabar dan setia, walaupun selepas itu beliau dan pengikut-pengikut kanannya diuji dengan pelbagai cabaran dan ujian, termasuk disejukbekukan peranan.

“Semua ini kerana ketentuan Allah SWT. Saya berserah kepada-Nya. Jika ada rezeki saya, saya akan memperolehnya. Jika tidak, ia bukan rezeki kita,” katanya kepada penulis ketika itu.

Ketika di Miri, beliau mengimbau saat genting itu: “Apabila kita bercakap pasal kesetiaan terhadap parti, memang dalam hidup kita banyak kelemahan dan kadangkala (kita berada) di atas dan di bawah.

“Malah, saya sendiri pernah kecewa tetapi saya tidak mengalah kerana ingin berjuang untuk parti. Saya bermula sebagai Menteri (Pembangunan) Perindustrian sebelum menjadi Menteri Pelancongan.

Hingga ada pihak menggelar saya sebagai pemandu pelancong. Namun, saya galas peranan itu dengan ikhlas… demi PBB.”

Katanya, ada segelintir individu apabila rasa kecewa terus daripada perjuangan parti. keluar

Sepatutnya ahli parti perlu tunggu terlebih dahulu sebelum mereka dapat diangkat.

“Pada tahun 1987, apabila PBB berdepan dengan masalah besar, yang setia kekal dalam PBB termasuk saya dan Adenan, walaupun orang lain keluar.

Kerana kita berjuang demi parti dan akhirnya kita menikmati perjuangan itu kini.

Mereka yang kecewa sedikit dan terus keluar parti bukanlah pejuang tulen.

“Perjuangan mereka adalah perjuangan peribadi bukannya untuk parti. Hinggakan ada yang tidak dilantik sebagai temenggung dan pemanca terus merajuk.”

Abang Jo membuktikan sendiri betapa perjuangan besar untuk parti ini memerlukan pengorbanan.

Pernah menggalas peranan sebagai Timbalan Presiden, beliau akur dengan keputusan Presiden pada waktu itu untuk menamakan Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) sebagai Ketua Menteri dan Pemangku Presiden parti selepas Abdul Taib berundur.

Beliau tidak menggelupur, jauh sekali untuk memberontak dan mencipta musuh.

Dan rezeki baginya selepas itu, tidak salah alamat. Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri, sebelum memikul tanggungjawab mengetuai negeri selepas Tok Nan menghembuskan nafas terakhir.

Setia dalam parti politik amat penting, kerana parti membentuk kerajaan. Apabila semua pemimpin meletakkan kepentingan parti di hadapan, parti tidak akan goyah biarpun pemimpinnya bertukar ganti.

Parti yang utuh akan menjamin kerajaan yang kukuh. Pemimpin yang sering melompat parti akan hanya menyebabkan rakyat tidak percaya bukan sahaja kepada pemimpin terbabit, malah parti yang diwakilinya.

Sedar akan perkara itu, Abang Johari menyeru kepada seluruh ahli PBB untuk terus mengukuhkan parti tersebut, yang kini menjadi tonggak kepada negeri ini.

Dalam menghadapi pilihan raya, rakyat melihat secara terperinci kepada parti-parti yang bertanding dan siapa ahlinya.

Jika ahlinya dalam kalangan mereka yang ‘bekas’ ahli parti lain, bermakna kewibawaannya sedikit terjejas.

“Ada sebuah parti itu bermasalah sebab dari dahulu ketuanya bermasalah. Kita pernah tolong tetapi tidak bertegur sapa dengan Sim (Presiden SUPP Datuk Sri Dr Sim Kui Hian).

Semua ahli yang diterima dan ditarik ke dalam partinya merupakan individu bermasalah.

“Apabila tidak suka melihat James (Presiden PRS Tan Sri James Jemut Masing) keluar parti dan masuk parti itu. Bagaimana parti itu menjaga Sarawak jika partinya dianggotai oleh individu bermasalah.”

Semua pemimpin politik di Sarawak seharusnya menginsafi apa yang berlaku dalam politik nasional ketika ini.

Akibat tidak setia, maka parti berantakan. Malah beberapa negeri berhadapan masalah dari sudut pentadbiran kerajaan — termasuk risiko DUN yang tergantung, kerana tiada siapa mempunyai kelebihan.

Mangsanya adalah rakyat. Mereka bukan sahaja tidak mempunyai ketua, malah lebih sedih, terpaksa menjadi korban kalangan ahli politik yang tiada integriti, tidak setia dan rakus kuasa.

Belajarlah daripada kesetiaan Abang Johari. Perjalanan politiknya cukup menginsafkan. Bohong jika beliau tidak menangisi cabaran yang dilaluinya, namun beliau bukan jenis yang patah semangat, biarpun ramai yang menabur racun.

Beliau tekun menghadapi segala cabaran dan hari ini, beliau dihormati kerana pendiriannya itu.

• Rudi Affendi Khalik merupakan Ketua Divisyen Berita dan Ehwal Semasa, Sarawak Media Group Sdn Bhd. Beliau merupakan mantan Ketua Pegawai Operasi Suara Sarawak.