SIBU: Seorang wanita berusia 18 tahun yang sedang hamil dua bulan diterajang oleh suaminya kerana enggan dibawa menziarahi mentuanya.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian berlaku pada Ahad lalu setelah suspek, 19, bertikam lidah dengan mangsa pada jam 8 pagi di sebuah rumah di Jalan Lanang Barat.

Katanya, tikam lidah itu berlaku apabila suspek enggan dibawa oleh mangsa balik ke rumah mentuanya di sebuah rumah panjang di kawasan Bawang Assan dekat sini.

“Suspek bertindak agresif lalu menerajang bahagian pinggang sebelah kiri dan juga memukul betis kanan mangsa menggunakan topi keledar hingga menyebabkan kecederaan.

“Suspek sekali lagi bertindak luar batasan dengan memukul kepala mangsa menggunakan topi kaledar dan menampar telinga kanannya.

“Selepas itu, suspek keluar dari rumah sambil meninggalkan mangsa yang kesakitan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Takut dengan tindakan suspek, ujarnya, mangsa kemudian melarikan diri ke rumah jiran mereka bagi mendapatkan perlindungan.

Menurut Stanley, suspek kemudian balik ke rumahnya pada jam 3 petang hari yang sama turut melafazkan cerai kepada mangsa dengan syarat pengadu perlu menggugurkan kandungannya sebelum beredar dari rumah jirannya.

Beliau berkata, tidak lama selepas itu suspek datang semula dengan membawa sebatang pen dipercayai untuk mencederakan mangsa tetapi dihalang oleh jirannya.

Mangsa dikatakan menyorok di dalam bilik yang dikunci di rumah jirannya.

“Siasatan awal pihak polis mendapati mangsa dan suspek telah berkahwin secara Adat Istiadat Iban di Mahkamah Bumiputera (belum didaftar dalam JPN) pada 2 Jun lalu.

“Hanya mangsa dan suspek sahaja berada di rumah ketika kejadian pertama itu.

“Selepas suspek keluar, mangsa telah melarikan diri ke rumah jirannya dan kejadian kedua berlaku di situ,” jelasnya.

Stanley memberitahu kejadian kedua telah disaksikan oleh keluarga jiran mangsa. Menurutnya lagi, polis kini sedang menjejaki suspek yang masih bebas.

“Punca kejadian, dipercayai suspek di bawah pengaruh alkohol dan marah kerana isterinya mengajaknya pulang ke rumah ibu bapa mangsa.

Suspek juga dikatakan sering memukul pengadu jika mabuk. “Kes disiasat di bawah Jenayah Kekerasan Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” kata Stanley.