KUCHING: Tidak ada rakan atau musuh selamanya dalam politik, kata seorang Naib Presiden Parti PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau menjawab reaksi Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh terhadap kenyataan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung PSB yang dianggap kumpulan bermasalah.

Abdul Karim berkata, komen Abang Johari mengenai parti pembangkang hanyalah tindak balas semula jadi sebagai Presiden PBB susulan serangan parti pembangkang itu terhadap pemimpin GPS.

“Ia perkara biasa yang sering terjadi dalam dunia politik,” katanya ketika dihubungi New Sarawak Tribune, pada Isnin.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu yakin Abang Johari dan Soon Kooh saling menghormati antara satu sama lain kerana kedua-duanya pernah menjadi rakan sekerja di dalam kabinet negeri.

“Sama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim masing-masing merupakan perdana menteri dan timbalan perdana menteri pada satu masa.

“Mereka menjadi musuh paling lama dalam sejarah apabila salah seorang disumbat ke penjara. “Kini menjadi kawan rapat sekali lagi dan bersama-sama melawan Barisan Nasional pada PRU yang lalu.

“Perkara yang sama berlaku antara DAP dan Pas. Mereka pernah menjadi rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat, tetapi kemudian berpisah dan sekarang saling mengkritik,” katanya.

Abdul Karim menganggap Soon Koh sekadar membalas kenyataan Abang Johari seperti yang disiarkan dalam portal tempatan.

Sabtu lalu pada Konvensyen Khas PBB Zon Utara di Miri, Abang Johari berpendapat pemimpin PSB mempunyai sejarah pertikaian dengan presiden parti komponen GPS sebelum membentuk parti berkenaan.