KUCHING: PSB memberikan gambaran enggan bekerjasama dengan blok Kerajaan Sarawak apabila menerima kemasukan bekas anggota GPS ke dalam parti mereka.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perdamaian antara parti bertelagah iaitu PSB dengan SUPP sentiasa diharapkan demi kebaikan komuniti Cina di negeri ini tetapi tidak berhasil.

Menurutnya lagi, selepas Pilihan Raya Negeri 2011, SUPP mengalami krisis kepemimpinan yang mengakibatkannya berpecah menjadi dua puak.

“Kepemimpinan BN kemudiannya memutuskan agar masalah dalaman SUPP harus diselesaikan secara damai oleh pihak bertelagah kerana ia bukan dasar BN Negeri apabila mengganggu parti komponen yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan baru-baru ini bagi membidas dakwaan Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh yang mengatakan Abang Johari memainkan peranan penting dalam pembentukan PSB.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS menegaskan, dasarnya ialah mencari jalan perdamaian dalam kalangan puak bertelagah sejak SUPP berdepan dengan masalah.

“Soon Koh dan kumpulannya dipecat oleh SUPP tetapi beliau dikekalkan dalam Kabinet Negeri kerana kepimpinan mahu dasar inklusif dan perpaduan dalam kalangan komuniti Cina.

“Masalah itu berlarutan sehingga Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem mengambil alih tugas sebagai Ketua Menteri,” jelasnya.

Hakikatnya kata Abang Johari, dalam pilihan raya lalu, kumpulan Soon Koh dibenarkan bertanding menggunakan simbol BN sebagai calon langsung, sekali gus melambangkan kepemimpinan negeri terus berusaha menyatupadukan masyarakat Cina bagi membolehkan mereka menyertai barisan kabinet negeri.

“SUPP hampir dibatalkan pendaftarannya setelah Soon Koh dipecat daripada SUPP dan membentuk UPP. “Susulan itu, kerajaan dikenali sebagai BN-Plus dibentuk dengan harapan kedua-dua puak terlibat dapat bekerjasama demi  kebaikan masyarakat Cina di Sarawak,” ujarnya.

Tambah Abang Johari yang juga Adun Satok, sebenarnya Adenan mengarahkannya merasmikan pelancaran UPP apabila kini namanya ditukar kepada PSB.

“Semasa saya mengambil alih jawatan Ketua Menteri, saya meneruskan dasar ini dengan mengekalkan Soon Koh sebagai menteri untuk memberi masa kepada kedua-dua puak berdamai.

“Malangnya, secara sengaja atau tidak, kepemimpinan PSB menerima masuk anggota daripada parti komponen GPS apabila tindakan sedemikian membahayakan kerja berpasukan dalam GPS,” tegasnya lagi.

Jelasnya, GPS mempunyai dasar “anda sentuh satu, anda sentuh semua” dan tindakan PSB bertentangan dengan usaha GPS untuk menyatupadukan rakyat Sarawak.

“Saya juga telah meminta pemimpin masyarakat dan korporat untuk membantu dalam pendamaian kedua-dua puak tetapi tidak berhasil. “Kini saya serahkan yang selebihnya kepada orang ramai untuk menilai,” ujarnya lagi.