SARIKEI: Anggota Bomba dan Penyelamat Bintangor menyertai program gotong-royong bersama-sama penduduk membersihkan kawasan Taska Penyayang Baji Jaya di Kampung Seberang di sini, semalam.

Ketua Balai Bombai dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin berkata, aktiviti itu merupakan salah satu pendekatan murni bagi membolehkan anggota bomba meluangkan masa bersama-sama penduduk sambil menyumbangkan khidmat bakti kepada masyarakat.

Malah katanya, sambutan penduduk dalam menjayakan program itu juga amat memberangsangkan apabila mereka beramai-ramai menyertainya.

“Aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah turut menyemai semangat kerjasama dalam kalangan anggota.

Kita juga dapat mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat apabila berkumpul bersama-sama dalam satu komuniti.

“Malah melalui pendekatan ini, kita dapat membantu mewujudkan persekitaran yang selamat dan bersih.

Mudah-mudahan program sebegini dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap bomba ke arah yang lebih positif,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran pelbagai program komuniti membuktikan tanggungjawab bomba bukan sekadar memadam kebakaran dan menyelamat.

Dalam pada itu, Exco Persatuan Melanau Sarikei Mohd Yasar Raffaie berkata, program bertujuan menyemai semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan ahli persatuan.

Aktiviti itu katanya, membolehkan murid taska menikmati suasana pembelajaran dalam suasana yang lebih selamat dan selesa.

“Melalui program ini, semua ahli dapat bekerjasama untuk menjaga kebersihan sekolah. Selain itu, segala kerja dapat disiapkan dengan lebih cepat dan mudah.

“Kerja-kerja pembersihan termasuklah memotong rumput, membuang sampah, membersihkan longkang dan kawasan persekitarannya,” ujarnya.