SERIAN: Seorang pengawal keselamatan maut akibat dilanggar motosikal yang ditunggang seorang remaja lelaki ketika melintas jalan, pagi semalam.

Ketua Siasatan dan Penguat-kuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan dilaporkan berlaku sekitar jam 6.05 pagi di Kilometer 90 Jalan Kuching-Sri Aman berhampiran pasar Balai Ringin.

Katanya akibat kejadian, mangsa lelaki berusia 54 tahun dari Kampung Melayu Balai Ringin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, badan dan kaki kiri patah.

“Kemalangan berlaku apabila pejalan kaki terbabit secara tiba-tiba berlari melintas jalan dari arah kanan jalan lalu dilanggar oleh motosikal yang ditunggang seorang remaja lelaki yang datang dari Serian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Balai Ringin yang datang ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bagaimanapun Alexson berkata, remaja terbabit yang berusia 19 tahun dari Kampung Ensebang, Serian hanya mengalami luka ringan di kaki dan tangan.

Namun katanya pemeriksaan mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu. Beliau berkata, kes disiasat di bawah Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.