KOTA SAMARAHAN: Seorang remaja perempuan dan rakan lelakinya maut apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Batu 13, Jalan Kota Samarahan-Mambong sekitar jam 11.10 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Samarahan DSP Sudirman Kram berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 18 dan 24 tahun berasal dari Kampung Sg. Riset, Batu 27 Jalan KuchingSerian.

Menurutnya, kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari Kota Samarahan menuju ke Batu 15, Siburan manakala lori terbabit datang dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan, penunggang motosikal terseret dan tersepit di bawah lori yang terbabas ke dalam parit manakala pembonceng terjatuh ke laluan menghala Batu 15 dan dilanggar oleh sebuah kereta.

“Kedua-duanya maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sudirman berkata, mayat keduadua mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk prosedur bedah siasat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1957.